Dedikasi, komited terhadap kerja keutamaan Yeo

48 Jam PKNS Merdeka Bonanza sasar jualan RM10 juta
03/09/2020
PKNS rai warga kerja, anak cemerlang akademik
15/09/2020
Lihat semua

Nama: Yeo Cheng Chuan
Umur: 60 tahun
Asal: Klebang Besar, Melaka
Jawatan: Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Projek Mampu Milik
Tarikh bersara: 19 Mei 2020

BAGAIMANA MEMULAKAN KARIER DI PKNS?
Saya memulakan karier di PKNS pada Oktober 1981 ketika berusia 21 tahun sebagai Juruteknik Awam. Sepanjang berkhidmat di PKNS, saya ditugaskan di lapan bahagian berlainan dan terakhir sebagai Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Projek Mampu Milik. Bagi saya, tidak kira di bahagian mana kita ditugaskan, menjadi tanggungjawab melaksanakannya dengan dedikasi dan komited . Apabila kita menjalankan tugas dengan baik, ia satu kepuasan kepada diri.

GAYA KEPIMPINAN YANG MENJADI AMALAN ANDA
Sebagai ketua, menjadi cabaran kepada saya untuk memastikan kerjasama antara kakitangan lain berada dalam keadaan baik. Oleh itu, saya selalu mengadakan mesyuarat atau perjumpaan dengan anggota di bawah saya bagi memberi galakan kepada mereka berkongsi idea. Saya pasti semua anggota mempunyai pendapat sendiri dan mahu cadangan mereka difahami serta mendapat sokongan semua. Komunikasi yang baik antara ketua dan kakitangan juga penting bagi memudahkan setiap arahan itu difahami serta dipatuhi.

ADAKAH SUKAR MENDAPAT KERJASAMA DENGAN RAKAN SEKERJA?
Saya tidak pernah mengalami sebarang kesukaran untuk mendapat dorongan dan sokongan bahagian lain bagi melaksanakan sesuatu tugasan. Pada saya kita perlu berbuat baik dengan semua orang dan sentiasa bertegur dengan orang sekeliling walaupun anggota di bahagian lain. Saya juga banyak sertai program anjuran PKNS antaranya perbarisan Hari Kebangsaan peringkat Negeri, acara sukan dan sebagainya. Berada di PKNS adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan dengan rezeki itu, saya dapat membesarkan tiga anak.

PERKARA YANG DIAMALKAN DALAM MENINGKATKAN PRESTASI DI PKNS?
Pentingnya kita membuat perubahan diri bagi memastikan projek PKNS berjaya. Dalam diri setiap kakitangan PKNS wajib mengamalkan empat ‘Nilai Bersama’ iaitu Pelanggan Diutamakan, Komited Ke Arah Kecemerlangan, Nilai Profesional dan Sinergi Berpasukan. Pertama, ciptaan hasil hartanah PKNS mesti memenuhi citarasa dan kehendak pelanggan untuk memastikan PKNS sentiasa relevan dan diingati. Kedua, sebagai anggota yang dipertanggungjawabkan dengan sesuatu tugas, kita mesti menjalankan amanah tersebut bersungguh-sungguh. Ketiga, nilai profesional perlu ada dalam diri anggota PKNS, untuk memberi hasil kerja yang terbaik. Terakhir sinergi berpasukan perlu diberi perhatian kerana setiap individu dan bahagian perlu ada peranan khusus serta sentiasa bekerjasama.

GOLONGAN MUDA PERLU BELI KERETA ATAU RUMAH DAHULU?
Saya melihat anak muda kini lebih memberi tumpuan untuk membeli kenderaan berbanding rumah. Mereka lebih suka melabur wang kepada pengangkutan. Keutamaan sepatutnya perlu diberikan kepada perumahan, terutama bagi golongan bujang termasuk ibu tunggal. Projek perumahan mampu milik yang berkonsepkan sewaan bulanan dan sesuai untuk golongan bujang perlu diwujudkan kerana mereka ini tidak memerlukan bilik yang banyak. Kerajaan perlu mengambil inisiatif dan menggembleng tenaga bagi menjayakan projek perumahan sedemikian.

Menjadi hasrat saya untuk melihat projek perumahan ini dapat direalisasi pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negeri Selangor.

5 PERKATAAN MENGGAMBARKAN DIRI ANDA?

Inovasi, peramah, pencinta alam sekitar, komited dan suka membantu. Saya seorang yang peramah dan suka berkomunikasi dengan semua orang. Selain itu, saya juga sukakan aktiviti melibatkan alam sekitar dan pencapaian paling diingati adalah mendaki Gunung Kinabalu sebanyak dua kali.

Comments are closed.