GROW PKNS 2020 catat jualan RM4 juta

Program Pementoran relevan diteruskan
13/04/2021
Bubur lambuk ‘legend’ kembali
23/04/2021
Lihat semua

SERAMAI 29 peserta Program Usahawan Siswazah (GROW) PKNS 2020 mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya mencatat jualan sebanyak RM4 juta sepanjang tempoh enam bulan program berlangsung.

Walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ekoran pandemik COVID-19, peserta berjaya mengembangkan perniagaan dengan meningkatkan aspek pengurusan perniagaan dan juga pemasaran dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Puan Hajah Siti Zubaidah Haji Abd Jabar berkata, program GROW 2020 berhadapan sedikit cabaran ekoran pandemik COVID-19 yang menyebabkan modul baharu terpaksa diperkenalkan.

“90 peratus program dijalankan secara dalam talian manakala 10 peratus lagi secara fizikal. Tahun ini PKNS memperkenalkan pelbagai modul baharu yang memberi penekanan dalam aspek e-dagang, pemasaran media sosial dan digital di samping pembangunan inovasi selaras dengan permintaan ekonomi masa kini.

“Bagi program GROW 2021, kami akan memberi penekanan kepada aspek dalam talian dan memperkenalkan pelan pemulihan agar peserta GROW PKNS sentiasa mengekalkan prestasi yang baik setiap masa,” katanya.

Baru-baru ini, seramai 29 peserta yang selesai menjalani kursus latihan tersebut pada November lalu diraikan dalam Majlis Graduasi GROW PKNS 2020 di PKNS BizPoint Seksyen 7, Shah Alam.

Program GROW 2020 menekankan kaedah pelaksanaan mengkhususkan kepada aktiviti modul dan bengkel, bimbingan berkumpulan serta individu.

Pengambilan peserta adalah khusus kepada lepasan graduan yang berumur 30 tahun ke bawah telah berdaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan menjalankan perniagaan sepenuh masa.

Sejak program ini dilancarkan pada tahun 2006, PKNS telah berjaya merekodkan 363 peserta dengan jumlah jualan terkumpul lebih RM30 juta.

Paparan lensa sekitar majlis berkenaan yang diadakan di PKNS BizPoint, Seksyen 7, Shah Alam.

 

 

Comments are closed.