Majlis Graduasi Taska Mutiara PKNS Tahun 2020

PKNS santuni Orang Asli Pulau Indah
18/12/2020
Lihat semua

Majlis Graduasi Taska Mutiara PKNS Tahun 2020 telah berlangsung dengan jayanya dalam norma baharu di Ibu Pejabat PKNS pada 23 Disember 2020.

Majlis meraikan 20 kanak-kanak dari taska berkenaan yang terdiri daripada anak-anak anggota PKNS itu telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Pentadbiran Sumber & Manusia, Tuan Haji Ibrahim Surib. Turut hadir, Pengurus Sumber Manusia, Puan Azura Ramli dan Penolong Pengurus Kanan (Perkhidmatan), Puan Yuzawati Yusof.

Tuan Haji Ibrahim dalam ucapannya berkata, tahun ini menandakan sudah hampir empat tahun Taska Mutiara PKNS beroperasi sejak mula dibuka pada awal tahun 2017.

Menurutnya, sepanjang empat tahun ini juga pelbagai penambahbaikan dan peningkatan prestasi terhadap Taska Mutiara PKNS telah dilakukan bagi memastikan kualiti asuhan anak-anak ini berada di tahap yang terbaik.

 “Hari ini kita akan meraikan bakal graduan anak-anak asuhan Taska Mutiara PKNS yang terdiri daripada 20 orang anak-anak yang berumur empat (4) tahun sebagai simbolik kepada penamatan pembelajaran mereka di Taska Mutiara PKNS.

“Biarpun penganjuran kali ini berbeza dari sebelum-sebelumnya tanpa nyanyian dan persembahan anak-anak cilik kita, tapi ia pastinya tetap menjadi momen yang sepatutnya indah khususnya buat anak-anak kita.

“Saya doakan semoga semua anak-anak ini diberikan kesihatan yang berpanjangan, menjadi anak-anak yang soleh dan solehan serta sentiasa berada di bawah lindungan rahmat Allah SWT serta menjadi insan yang berjaya di masa hadapan, InsyaAllah,” katanya sebelum merasmikan majlis berkenaan.

Untuk rekod, penubuhan Taska Mutiara PKNS adalah bukti keprihatinan dan komitmen PKNS dalam menjaga kebajikan anggota-anggotanya bagi menangani masalah penjagaan anak-anak kecil yang dihadapi oleh golongan ibu bapa sewaktu bekerja.

Coretan lensa sekitar majlis berkenaan yang diadakan di Ibu Pejabat PKNS pada 23 Disember 2020.

Comments are closed.