Residensi Aurora kediaman pintar di SCV
02/10/2020
PKNS sumbang RM50,000 kepada Hospital Sungai Buloh
15/11/2020
Lihat semua

Nama: Vasanthi A/P Varatha Rajoo
Umur: 57 tahun
Asal: Petaling Jaya
Jawatan: Pembantu Tadbir Kanan (Kewangan) Bahagian Perancangan Korporat (Unit Perpustakaan PKNS)

BAGAIMANA MEMULAKAN KARIER DI PKNS?

Ayah saya yang ketika itu merupakan salah seorang anggota PKNS di Bahagian Ukur Hak Milik sering bimbang melihat saya pulang waktu malam ketika bekerja di bahagian akaun Hospital Assunta, Petaling Jaya. Dialah yang mendorong saya memohon kerja di PKNS.

Saya memulakan karier di PKNS pada tahun 1985 dan ditempatkan di Bahagian Penyelarasan Projek (Unit Kejuruteraan) di Kompleks PKNS sebelum ditukarkan ke Bahagian Sekretariat di Ibu Pejabat PKNS, Petaling Jaya pada 1993. Seterusnya pada 1999 saya ditukarkan ke Bahagian Kewangan dan kini berada di Bahagian Perancangan Korporat (Perpustakaan PKNS) sejak 2017.

BAGAIMANA BEKERJA DALAM PERPUSTAKAAN PKNS?

Bekerja di Perpustakaan PKNS adalah satu kelebihan kerana saya dapat ‘menjamu’ minda dengan membaca pelbagai kategori buku dan pada masa sama saya juga menggemari suasana persekitaran yang menyenangkan. Malah, persepsi saya sebaik sahaja memasuki Perpustakaan PKNS berubah kerana pada mulanya tugas saya hanya memeriksa peminjaman dan pemulangan buku, sebaliknya perlu juga mengkatalogkan buku mengikut klasifikasi serta mendaftarkan ke dalam sistem “Small Library Organizer Pro” selain memahami semua kategori buku.

KENANGAN PALING TIDAK BOLEH DILUPAKAN SEPANJANG BERKHIDMAT DI PKNS?
Pengalaman paling tidak boleh dilupakan ialah ketika di Bahagian Sekretariat apabila dipilih sebagai jawatankuasa penyampaian hadiah kepada pemenang pelumba motosikal antarabangsa Grand Prix of Malaysia di Shah Alam pada 1995. Kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada PKNS dalam menganjurkan kejohanan tersebut berjaya menaikkan nama PKNS. Selain itu, saya pernah menerima   Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2009 dan 2019 dan ia pastinya menjadi kenangan manis buat saya.

HARAPAN KEPADA PKNS PADA MASA AKAN DATANG?

Saya berharap PKNS dapat mengekalkan prestasi baik dan dalam masa sama merealisasikan visinya iaitu ‘Membina Komuniti, Memperkasa Kehidupan… Merealisasi Impian’ rakyat. Selain itu, PKNS perlu mempelbagaikan aktiviti supaya dapat memperkukuhkan kedudukan dan dana, sekali gus mempertingkatkan sumber pendapatan untuk jangka masa panjang.

5 PERKATAAN MENGGAMBARKAN DIRI ANDA

Saya merupakan seorang yang peramah, berdedikasi, komited, penyabar dan sentiasa berfikiran positif. Saya suka membantu anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan dengan memberikan khidmat tuisyen secara percuma, selain membelikan buku dan alat tulis kepada mereka.

Comments are closed.